Shared Values

Innovative, Cohesiveness, Loyalty, Integrity, Professionalism

Dalam perlak ada kebun
Dalam kebun ada tanaman
Dalam gelak ada pantun
Dalam pantun ada mainan

Friday, August 14, 2009

Merdeka! Merdeka! Merdeka!


"Anak-anak hari ini mempunyai cita-cita yang jauh berbeza daripada cita-cita dan pemikiran masyarakat pra dan pasca kemerdekaan. Keadaan ini berlaku kerana mereka terdedah kepada pelbagai pengaruh luar melalui pelbagai saluran dan media. Dengan kemajuan teknologi komunikasi dan telekomunikasi, anak-anak yang berusia belasan tahun, seterusnya mereka dalam lingkungan 30-an dan 40-an, mewarisi pemikiran moden. Mereka mungkin faham bahawa sambutan Hari Kemerdekaan adalah detik memperingati kejayaan negara yang berjaya membebaskan diri daripada belenggu penjajahan. Disebabkan tidak pernah mengenal erti penjajahan, sama ada secara fizikal dan pemikiran, mereka tidak pernah menganggap mereka pernah dijajah. Pengalaman tidak pernah mengajar mereka penyeksaan hidup dijajah. Anak-anak hari ini tidak pernah merasa tidur dalam kerlipan pelita minyak tanah kerana setiap masa mereka membesar di dalam bilik berhawa dingin. Bagaimana mereka boleh memahami erti mandi di perigi, sedangkan mereka tidak pernah melihat perigi. Mereka hidup dalam zaman moden yang lama kelamaan menghakis semangat nasionalisme bangsa."

Itulah sebahagian dari teks sebuah artikel dari laman web bharian.com.my. Walaupun ada banyak benarnya, saya rasa, perlu ada ruang untuk sanjungan dan pengiktirafan anak-anak zaman ini.

"Anak-anak hari ini mempunyai cita-cita yang jauh berbeza daripada cita-cita dan pemikiran masyarakat pra dan pasca kemerdekaan". Sudah semestinya. Sedangakan saya dan anak saya yang berbeza satu generasi pun mempunyai pengertian yang berlainan terhadap cita-cita dan pemikiran. Inikan pula masyarakat yang terpisah oleh satu jarak masa selama 50 tahun.

"Disebabkan tidak pernah mengenal erti penjajahan, sama ada secara fizikal dan pemikiran, mereka tidak pernah menganggap mereka pernah dijajah". Rasanya tidak salah sekiranya kita beranggapan demikian, tetapi betulkah begitu? Betulkah kita telah bebas dari idea-idea penjajah?

"Pengalaman tidak pernah mengajar mereka penyeksaan hidup dijajah". Kita mesti bersyukur kerana ini. Keperitan akibat penyeksaan hidup ibarat luka, yang kadang-kadang meninggalkan parut-parut yang boleh kembali berdarah.

"Anak-anak hari ini tidak pernah merasa tidur dalam kerlipan pelita minyak tanah kerana setiap masa mereka membesar di dalam bilik berhawa dingin". Bukankah tidur dalam suasana nyaman berhawa dingin itu lebih selesa dari tidur berteman pelita minyak tanah yang berjelaga? Kita teramat bersyukur kerana nikmat sebegini.

"Mereka hidup dalam zaman moden yang lama kelamaan menghakis semangat nasionalisme bangsa." Bukan zaman moden sahaja yang menyebabkan semangat nasionalisme terhakis. Cuba kita sama-sama fikirkan, apakah sebab-sebab lain yang turut menyumbang kepadanya. Zaman yang dikatakan moden ini adalah kesan dari peredaran yang tidak mungkin dapat kita berhentikan. Kita mesti mengadaptasikan diri kita. Kita ada nilai-nilai yang kita yakini. Bukannya kita perlu hanyut bersama arus permodenan.

Saya yakin, kita lahir tepat pada masanya. Tidak terlewat mahu pun terdahulu. Dan untuk kesinambungan, diri kita, keluarga kita, agama kita, masyarakat kita, hatta negara kita sekali pun........... kita perlu transform......... dari baik kepada yang lebih baik kepada yang terbaik................

Apa kata anda.................................................

No comments:

Post a Comment